Ekoran penolakan kali kedua untuk menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil, Jawatankuasa Bulan Reformasi bersama-sama
Pergerakan Pemuda keADILan Pusat akan melancarkan satu siri program jelajah negara sepanjang bulan Oktober
ini.
Siri program jelajah negara itu dinamakan “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”. Program ini adalah dalam bentuk perhimpunan
rakyat yang akan diisi dengan pidato umum.
Sdr Lokman Noor Hj. Adam selaku Pengarah “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”, dalam kenyataannya memberitahu
bahawa program tersebut akan membariskan penceramah di kalangan tokoh-tokoh keADILan Pusat, pemimpin-pemimpin
Barisan Alternatif, Pemuda keADILan, Wanita keADILan, pemimpin-pemimpin NGO, aktivis reformasi dan para
karyawan.
YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti keADILan Nasional juga dijadualkan hadir dalam perhimpunan
tersebut.
Program yang akan bermula pada 11 Oktober di Seremban itu akan diikuti pada tarikh-tarikh berikutnya di Johor Bahru, Ipoh,
Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Pulau Pinang, Alor Setar, Kangar, Shah Alam, Melaka dan Kuantan. Program
di Kuantan dijadualkan pada 27 Oktober. Pilihan bandar-bandar utama di atas adalah bagi tujuan mendapatkan penyertaan
terbesar dari setiap negeri.
Dijangkakan perhimpunan ini akan disertai oleh sekurang-kurangnya 10,000-15,000 rakyat di tempat-tempat seperti
Seremban, Melaka, Kangar dan 50,000-60,000 rakyat di tempat-tempat seperti Alor Setar, Kota Bharu dan Kuala
Terengganu.
Setelah selesai siri jelajah negara melalui “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”, kemuncak program pada bulan Oktober adalah
Perhimpunan 100,000 Rakyat.
Program kemuncak bagi Perhimpunan 100,000 Rakyat adalah pelancaran “Kempen Nyah Mahathir”. Kempen ini adalah
anjuran bersama aktivis parti-parti politik, aktivis reformasi, aktivis NGO dan para
karyawan.
Bagi memantapkan solidariti rakyat, pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam Barisan Alternatif akan diundang untuk
bersama-sama hadir dalam majlis pelancaran “Kempen Nyah Mahathir”.
Perhimpunan 100,000 Rakyat beserta pelancaran “Kempen Nyah Mahathir” ini akan diadakan dari pukul 3:00 petang hingga
6:00 petang pada hari Ahad 29 Oktober 2000. Tempat akan dimaklumkan kemudian.
“Kempen Nyah Mahathir” ini juga akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kuching dari 31 Oktober hingga 5 November.
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,
Parti KeADILan Nasional
http://bulanreformasi.tripod.com
emel: abuurwah@freeanwar.com
26 September 2000
|