Bulan September akan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti perjuangan rakyat.!


Laman Perhimpunan Rakyat


SEARCH :

MENU UTAMA
PERHIMPUNAN RAKYAT
Program Khas Hari Kebangsaan
AKTIVITI
A L B U M
DEBAT RAKYAT
Hubungi Kami
HUBUNG KE:
  • Free Anwar
  • Laman Reformasi
  • Malaysiakini
  • Harakah Daily
  • Mahafiraun 2020
  • keADILan
  • P A S
  • D A P
  • P R M
  • J I M
  • ABIM
  • SUARAM
  • GUESTBOOK:
    [Sign] [View]


    Kenyataan Media Sempena Permohonan Tempahan Stadium Bukit Jalil
    (
    Rabu, 6 September 2000)

     

    Sempena September 2000 yang merupakan ulangtahun kedua gerakan reformasi, Jawatankuasa Khas Bulan Reformasi Parti keADILan Nasional membuat tempahan bagi menyewa tempat dan kemudahan di Stadium Bukit Jalil pada 19 September 2000.

    Tarikh tersebut adalah untuk mengingati tarikh 20 September 1998, yang menyaksikan Perhimpunan Raksasa Rakyat yang berhimpun secara sukarela dan secara aman di Masjid Negara dan Dataran Merdeka bagi menunjukkan sokongan mereka kepada tokoh utama reformasi negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

    Tarikh 20 September 1998 juga merupakan titik hitam dalam sejarah negara di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah ditahan di bawah ISA dan seterusnya dibelasah di lokap polis Bukit Aman.

    Dianggarkan 100,000 penyokong reformasi di kalangan ahli dan penyokong parti-parti PAS, keADILan, DAP dan PRM di samping pelbagai lapisan rakyat akan hadir dalam perhimpunan rakyat di Stadium Bukit Jalil.

    Acara program Perhimpunan Rakyat ini akan dimulakan dengan solat isya’ berjamaah dan seterusnya Solat Hajat Perdana bagi orang-orang Islam. Solat akan dipimpin oleh seorang tokoh agama terkemuka negara.

    Aturcara berikutnya adalah Bacaan Perutusan khas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari Sungai Buloh yang akan dibacakan oleh anakanda beliau, Nurul Izzah.

    Ceramah pertama pada malam itu adalah Ucapan Sumpah Keramat Perdana oleh Ketua Pemuda keADILan, Sdr. Mohamad Ezam Mohd Nor.

    Perutusan dan Ucapan Perdana Bulan Reformasi 2000 pula akan disampaikan oleh Presiden Parti keADILan Nasional, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Untuk mengukuhkan solidariti rakyat, tiga orang pemimpin utama parti Barisan Alternatif akan diundang memberi ucapan sebagai tetamu kehormat. Mereka adalah YB Dato’ Hj Fadzil Mohd Nor, Presiden PAS, En. Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM.

    Acara lain yang bakal memenuhi Perhimpunan Rakyat Stadium Bukit Jalil juga akan terdiri daripada bacaan sajak dan puisi, deklarasi perjuangan OKT (Orang Kena Tuduh), pelepasan belon, dan dendangan nasyid dan lagu refomasi daripada kumpulan terkenal.

    Para penyokong daripada pelbagai lapisan rakyat boleh mula mengambil tempat di dalam stadium bermula pukul 8:00 malam.

    Bagi memenuhi prosedur daripada pihak keselamatan, permit polis akan dikemukakan sebaik sahaja pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil memberikan kelulusan permohonan tempahan sewaan pada tarikh 19 September 2000.

    Pihak penganjur memberi jaminan bahawa Perhimpunan Rakyat Stadium Bukit Jalil ini adalah satu perhimpunan aman. Pihak penganjur akan menasihati para penyokong agar bertingkahlaku penuh tanggungjawab dan disiplin semasa menghadiri perhimpunan ini.

    Perkembangan seterusnya bagi perhimpunan ini boleh diikuti dalam website Bulan Reformasi yang bertempat di http://bulanreformasi.tripod.com

    Sekian. Keadilan untuk semua. Ke Arah Malaysia yang Adil.

    Hj. Saari Hj. Sungib
    Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,
    Parti KeADILan Nasional
    6 September 2000


    Laman ini dilancarkan pada 31 Ogos 2000. Jurucakap laman ini ialah Tuan Hj. Saari Sungib yang merupakan ahli MPT keADILan dan juga Pengerusi JK Khas Bulan Reformasi. Email Webmaster