Bulan September akan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti perjuangan rakyat.!

 


 


SEARCH :

MENU UTAMA
PERHIMPUNAN RAKYAT
Program Khas Hari Kebangsaan
AKTIVITI
A L B U M
DEBAT RAKYAT
Hubungi Kami
HUBUNG KE:
GUESTBOOK:
[Sign] [View]

 


Kenyataan Media Berhubung Kes Penahanan Aktivis Reformasi di bawah ISA


Kami yang mewakili keluarga aktivis reformasi yang ditahan serta Jawatankuasa Penyerahan Memorandum Rakyat kepada SUHAKAM dengan tegasnya menyatakan bahawa :

- Segala tuduhan yang dibuat terhadap para aktivis reformasi yang ditahan di bawah ISA dalam kenyataan akhbar polis bertarikh 11 April 2001 adalah nyata palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

- Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya ada suatu perancangan untuk menggulingkan kerajaan secara militan, serta menggunakan kekerasan melalui penggunaan beberapa senjata letupan.Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa terdapat langkah-langkah seperti itu telah diambil.

- Setiap pertemuan yang dibuat adalah secara terbuka dan apa-apa perancangan diumumkan melalui persidangan media serta kenyataan akhbar. Ini jelas dengan wujudnya sebuah jawatankuasa yang boleh dikenal pasti serta dapat dihubungi. Adalah tidak logik sekiranya setiap perjumpaan "sulit" sepertimana yang dituduh oleh polis diikuti dengan kenyataan serta pengumuman media oleh jawatankuasa tersebut.

- Rancangan utama para aktivis pada 14 April 2001 adalah dalam melaksanakan hak mereka yang termaktub dalam undang-undang negara ini iaitu untuk menyerahkan memorandum rakyat menuntut pengembalian hak asasi manusia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM). Ini adalah jelas dan pihak SUHAKAM sendiri telah mengesahkan kesediaan mereka menerima delegasi yang akan menyerahkan memorandum tersebut. Memorandum tersebut telah mendapat sokongan serta pengindorsan daripada pelbagai kelompok rakyat. Ini termasuk badan-badan bukan kerajaan, persatuan pelajar serta parti-parti dalam Barisan Alternatif.

- Tuduhan tentang penggunaan guru-guru silat serta mendapatkan pengaruh sebilangan pegawai serta anggota keselamatan tidak masuk akal dan sekali lagi tidak berasas. Kami meminta pihak polis memberi BUKTI yang kukuh terhadap tuduhan tersebut. Kami pasti oleh kerana tiada sedikitpun kebenaran dalam tuduhan tersebutlah maka polis menahan para aktivis di bawah ISA. Ini adalah kerana penahanan di bawah ISA membenarkan polis menahan sesiapa tanpa perlu bicara dan apa-apa bukti siasatan.

- Setiap perhimpunan rakyat yang diadakan selam ini oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti dan persatuan-persatuan masyarakat adalah aman serta tidak pernah bersifat ganas. Apa-apa kejadian yang tidak diingini hanya berlaku apabila pihak polis mengambil tindakan kejam dan keras untuk menyekat perhimpunan rakyat.

- Sehingga ke hari ini polis tidak dapat mengeluarkan apa-apa bukti bahawa setiap perhimpunan dan demonstrasi yang pernah diadakan melibatkan apa-apa jenis bahan letupan serta senjata.

Kami menyeru pihak polis untuk bertindak profesional dan adil dalam melaksanakn tugas dan bukan sekadar mengikut arahan-arahan ahli-ahli politik yang tertentu. Ini dapat dilihat kerana segala tuduhan palsu yang dibuat oleh polis tersebut adalah sama dengan tuduhan yang dibuat oleh para ahli politik kerajaan dalam mengecam pembangkang serta aktivis reformasi. Dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, peluang untuk menjawab segala tuduhan tersebut tidak boleh dilakukan.

Sesungguhnya tindakn polis ini adalah semata-mata untuk menyekathak rakyat untuk bersuara,berhimpun secara aman yang terjamin dalam perlembagaan Malaysia.

Tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa para aktivis yang ditahan telah melakukan apa-apa di luar perlembagaan. Malah segala tindakan yang dilakukan adalah nyata mengikut yang termaktub di dalam perlembagaan.

 

-dibacakan oleh Puan Aliza Jaffar, isteri Saari Sungib, Pengerusi JK Memorandum Rakyat 14 April pada 12 April 2001 di Chinese Assembly Hall.