Pergerakan Pemuda keADILan Negeri Melaka mengecam
keras tindakan polis menahan beberapa orang aktivis
reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
1960 termasuk mangsa yang kelapan Dr. Badrul Amin dan
menggesa agar semua tahanan dibebaskan dengan segera.
Penahanan tersebut yang dibuat sehari selepas laporan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibentangkan
di Parlimen seolah-olah seperti mencabar SUHAKAM
bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mereka.
Malah kenyataan biadab Dr. Mahathir seperti yang
dilaporkan di dalam Utusan Malaysia hari ini
seolah-olah memandang sepi "fact findings"
dan "recommendations" daripada SUHAKAM.
Walau apapun alasan yang diberikan Pergerakan
Pemuda keADILan Melaka menegaskan bahawa penahanan
tersebut adalah bertentangan dengan peruntukan
undang-undang kerana ianya tiada kaitan dengan
‘ancaman terhadap keselamatan negara’ seperti yang
digembar-gemburkan oleh pemerintah. Sebaliknya,
penahanan tersebut adalah bermotifkan politik, iaitu
untuk melemahkan kebangkitan rakyat menentang segala
bentuk kezaliman dan kepincangan pemerintah serta
menakut-nakutkan para lawan politik mereka. Ini
terbukti apabila penyerahan Memorandum Rakyat kepada
Suhakam pada 14 April 2001 berlangsung dalam keadaan
yang aman walaupun sebelum itu Ketua Polis Negara
mendakwa bahawa perhimpunan tersebut merupakan
sebahagian daripada perancangan para aktivis reformasi
untuk menggulingkan kerajaan melalui keganasan.
Penahanan para aktivis reformasi di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri menunjukkan bahawa pihak
pemerintah tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk
mendakwa mereka di bawah mana-mana undang-undang
jenayah di negara ini. Sekiranya pihak pemerintah
mempunyai bukti yang kukuh, Pemuda keADILan Negeri
Melaka menggesa agar mereka segera dibawa ke mahkamah
untuk didakwa dan diadili. Penahanan mereka secara
berterusan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
hanya akan mengesahkan pandangan umum bahawa
tuduhan-tuduhan liar pemerintah terhadap para aktivis
reformasi yang dipropagandakan melalui media-media
mereka adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah
semata-mata. Tindakan tersebut juga merupakan satu
bentuk pencabulan yang serius terhadap hak seseorang
individu yang dituduh untuk dibacarakan dan membela
diri di mahkamah keadilan.
Pemuda keADILan Negeri Melaka juga mempunyai
kebimbangan yang berasas bahawa para tahanan tersebut
berkemungkinan menerima layanan yang buruk di tempat
tahanan. Ini adalah berdasarkan kepada tragedi yang
pernah menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di
lokap polis serta aduan-aduan mengenai kekejaman polis
sepertimana yang telah dilaporkan oleh orang awam.
Justeru, untuk memastikan keselamatan dan kesihatan
mereka terjamin, Pemuda keADILan Negeri Melaka
menggesa agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)
dibenarkan untuk melawat tempat di mana para tahanan
itu ditahan selaras dengan fungsi mereka di bawah
Seksyen 4(2)(d) Akta Suruhanjaya Hak Asassi Manusia
1999.
Pemuda keADILan Negeri Melaka dengan ini
menggesa agar kesemua aktivis reformasi yang ditahan
di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dibebaskan dan
mengecam keras tindakan pemerintah menggunakan
undang-undang yang represif untuk menjayakan strategi
kotor politik mereka. Ingatlah, tindakan itu tidak
akan sekali-kali melemahkan semangat rakyat untuk
menentang kezaliman pemerintah, sebaliknya semakin
menyemarakkan daya juang mereka untuk melakukan
perubahan.
t.t
SHAMSUL ISKANDAR HJ. MOHD. AKIN
Ketua Pemuda keADILan Negeri Melaka.
(shamsuliskandar@yahoo.co.uk)
|