Bulan September akan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti perjuangan rakyat.!


Laman Perhimpunan Rakyat


SEARCH :

MENU UTAMA
PERHIMPUNAN RAKYAT
Program Khas Hari Kebangsaan
AKTIVITI
A L B U M
DEBAT RAKYAT
Hubungi Kami
HUBUNG KE:
  • Free Anwar
  • Laman Reformasi
  • Malaysiakini
  • Harakah Daily
  • Mahafiraun 2020
  • keADILan
  • P A S
  • D A P
  • P R M
  • J I M
  • ABIM
  • SUARAM
  • GUESTBOOK:
    [Sign] [View]


    KENYATAAN MEDIA
    PERMOHONAN KEDUA MENYEWA STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL
    BAGI TUJUAN MENGANJURKAN PERHIMPUNAN RAKYAT
    PADA 7 OKTOBER 2000


    Ekoran penolakan permohonan untuk menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil oleh Perbadanan Kompleks Sukan Negara pada 6 September, Jawatankuasa Khas Bulan Reformasi Parti keADILan Nasional sekali lagi mengemukakan permohonan menyewa stadium tersebut. Tarikh permohonan baru adalah pada 7 Oktober 2000. Permohonan akan dibuat kepada pihak perbadanan hari ini, 20 September 2000.

    Sepucuk surat kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Hishammuddin Tun Hussein telah dihantar pada 18 September melalui Poslaju bagi memaklumkan perkara tersebut. Surat permohonan juga telah dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan sebaik sahaja permohonan Jawatankuasa Bulan Reformasi ditolak oleh pihak perbadanan. Surat kepada menteri tersebut telah dihantar melalui emel pada 11 September.

    Seorang pegawai di Kementerian Belia dan Sukan telah mengesahkan menerima emel itu. Sehingga kini tiada sebarang jawapan daripada Menteri Belia dan Sukan berkenaan permohonan melalui emel tersebut.

    Dalam permohonan pertama, tarikh permohonan adalah pada 19 September. Tarikh tersebut adalah untuk memperingati 20 September 1998, yang menyaksikan Perhimpunan Raksasa Rakyat yang berhimpun secara sukarela dan secara aman di Masjid Negara dan Dataran Merdeka bagi menunjukkan sokongan mereka kepada tokoh utama reformasi negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

    Tarikh 20 September 1998 juga merupakan titik hitam dalam sejarah negara di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah ditahan di bawah ISA dan seterusnya dibelasah di lokap polis Bukit Aman.

    Perhimpunan Rakyat pada 19 September itu dijadualkan menjadi program kemuncak sempena Bulan Reformasi 2000.

    Memandangkan tingginya hasrat rakyat untuk berhimpun secara aman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jawatankuasa Bulan Reformasi sekali lagi membuat permohonan untuk menyewa stadium tersebut bagi tujuan menganjurkan Perhimpunan Rakyat. Dianggarkan 100,000 penyokong reformasi di kalangan ahli dan penyokong parti-parti PAS, keADILan, DAP dan PRM di samping pelbagai lapisan rakyat akan hadir dalam perhimpunan rakyat di Stadium Bukit Jalil.

    Acara program Perhimpunan Rakyat ini akan dimulakan dengan solat isya’ berjamaah dan seterusnya Solat Hajat Perdana bagi orang-orang Islam. Solat akan dipimpin oleh seorang tokoh agama terkemuka negara.

    Aturcara berikutnya adalah Bacaan Perutusan khas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari Sungai Buloh yang akan dibacakan oleh salah seorang anakanda beliau.

    Ceramah Amanat Reformasi 2000 akan disampaikan oleh Presiden Parti keADILan Nasional, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

    Untuk mengukuhkan solidariti rakyat, tiga orang pemimpin utama parti Barisan Alternatif akan diundang memberi ucapan sebagai tetamu kehormat. Mereka adalah YB Dato’ Hj Fadzil Mohd Nor, Presiden PAS, En. Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM.

    Acara lain yang bakal memenuhi Perhimpunan Rakyat Stadium Bukit Jalil juga akan terdiri daripada bacaan sajak dan puisi, deklarasi perjuangan OKT (Orang Kena Tuduh), pelepasan belon, dan dendangan nasyid dan lagu reformasi daripada kumpulan terkenal.

    Acara istimewa pada malam itu adalah mendapatkan tandatangan rakyat di atas kain rentang sepanjang 1 kolimeter.

    Para penyokong daripada pelbagai lapisan rakyat akan mula mengambil tempat di dalam stadium bermula pukul 8:00 malam.

    Bagi memenuhi prosedur daripada pihak keselamatan, permit polis akan dikemukakan sebaik sahaja pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil memberikan kelulusan permohonan tempahan sewaan pada tarikh 7 Oktober 2000.

    Pihak penganjur memberi jaminan bahawa Perhimpunan Rakyat Stadium Bukit Jalil ini adalah satu perhimpunan aman. Pihak penganjur akan menasihati para penyokong agar bertingkahlaku penuh tanggungjawab dan disiplin semasa menghadiri perhimpunan ini.

    Sekian. Keadilan untuk semua. Ke Arah Malaysia yang Adil.

    Hj. Saari Hj. Sungib
    Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,
    Parti KeADILan Nasional
    20 September 2000
    http://bulanreformasi.tripod.com

     

    Laman ini dilancarkan pada 31 Ogos 2000. Jurucakap laman ini ialah Tuan Hj. Saari Sungib yang merupakan ahli MPT keADILan dan juga Pengerusi JK Khas Bulan Reformasi. Email Webmaster