Bulan September akan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti perjuangan rakyat.!


Laman Perhimpunan Rakyat


SEARCH :


MENU UTAMA
PERHIMPUNAN RAKYAT
Program Khas Hari Kebangsaan
AKTIVITI
A L B U M
DEBAT RAKYAT
Hubungi Kami
HUBUNG KE:
  • Free Anwar
  • Laman Reformasi
  • Malaysiakini
  • Harakah Daily
  • Mahafiraun 2020
  • keADILan
  • P A S
  • D A P
  • P R M
  • J I M
  • ABIM
  • SUARAM
  • GUESTBOOK:
    [Sign] [View]


    Siaran Media oleh Jawatankuasa Bulan Reformasi
    (Khamis, 31 Ogos 2000)

    Bulan September 2000 adalah ulangtahun kedua gerakan reformasi yang dilancarkan oleh tokoh utama reformasi negara, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sempena mengingati perjuangan tersebut, Parti keADILan Nasional bersama-sama rakan-rakan parti Barisan Alternatif, NGO-NGO, reformis dan aktivis rakyat berganding bahu untuk menyambut bulan ini dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran di negara ini.

    Program-program tersebut terdiri daripada:

    1. Sambutan Hari Merdeka 31 Ogos.
    Sambutan ini bermula dengan konvoi berkenderaan dari Shah Alam menuju ke Masjid Negara, solat hajat di Masjid Negara, serta ucapan dan Pelancaran Bulan Reformasi dan pelancaran Laman Bulan Reformasi di Masjid Negara.

    2. Sumpah Keramat II Pemuda keADILan
    Majlis ceramah Pemuda seluruh negara untuk menegaskan iltizam untuk terus berjuang membebaskan Dato' Seri Anwar

    3. Ceramah-ceramah Umum Seluruh Negara.
    Ceramah-ceramah ini adalah anjuran keADILan Negeri dan Bahagian, ceramah-ceramah umum dalam bentuk anjuran BA dan parti-parti dalam BA. Ceramah-ceramah khas anjuran Wanita keADILan di peringkat nasional, Negeri dan Bahagian juga akan dijalankan. Sepanjang program ceramah ini roadshow Teater Tok Ampoo akan diadakan.

    4. Perhimpunan-perhimpunan Aman.
    Sepanjang Bulan Reformasi ini juga perhimpunan-perhimpunan aman akan diadakan khususnya perhimpunan di mahkamah bagi menunjukkan sokongan kepada tokoh-tokoh reformasi yang akan menghadapi perbicaraan mereka masing-masing. Perjumpaan Perdana OKT juga dianjurkan. Sembayang hajat dan pertemuan selepas sembahyang Jumaat akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara. Perhimpunan aman juga akan diadakan semasa tokoh-tokoh reformasi membuat beberapa laporan polis seluruh negara sepanjang Bulan Reformasi ini.

    5. Perhimpunan Rakyat Stadium Bukit Jalil.
    Kemuncak Bulan Reformasi adalah perhimpunan aman rakyat yang dijadualkan diadakan di Stadium Bukit Jalil. Perhimpunan ini adalah sempena mengingati Perhimpunan Raksasa 20 September 1998 dan seterusnya penahanan Dato' Seri Anwar Ibrahim di bawah ISA. Dianggarkan 100,000 penyokong reformasi akan hadir dalam perhimpunan rakyat tersebut. Perhimpunan tersebut akan diadakan menurut saluran sah dengan membuat permohonan rasmi kepada pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil dan permit polis.

    6. Pelancaran Laman Bulan Reformasi.
    Satu laman yang khusus memaparkan seluruh aktiviti dilancarkan sempena pelancaran Bulan Reformasi pada 31 Ogos 2000. Laman ini juga akan membuka ruang diskusi, debat, polimik, kenyataan media dan lobi tempatan serta antarabangsa khusus berkenaan penganjuran Perhimpunan Rakyat di Stadium Bukit Jalil. Laman tersebut bertempat http://bulanreformasi.tripod.com

    7. Program Solidariti 20 September.
    Majlis-majlis yang memperpadukan solidarity rakyat tempatan dan peringkat Antarabangsa akan diadakan sempena 20 September ini. Satu bentuk kerjasama dengan FAC, iaitu Free Anwar Campaign akan diadakan dengan melancarkan FAC Malaysian Chapter. Usaha untuk mendapatkan sokongan antarabangsa akan diadakan melalui demonstrasi di kedutaan-kedutaan Malaysia luar negara. Satu pakatan kerjasama antara semua NGO dan parti politik di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Pelancaran juga akan dibuat bagi menganjurkan seminar dan wacana intelektual di sekitar isu reformasi di peringkat serantau dan Asia.

    8. Program Khidmat Masyarakat.
    Aktiviti-aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan di peringkat Negeri dan Bahagian akan diadakan. Ini terdiri daripada lawatan-lawatan ke hospital, kawasan-kawasan desa, estet. Pertandingan esei dan melukis berbagai kategori juga akan diadakan.

    9. Kutipan Derma.
    Bagi tujuan mengumpulkan dana untuk keADILan di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian aktiviti melalui penjualan pelbagai item cenderahati. Dengan ini, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyambut ulang tahun kedua seruan reformasi agar tertegaknya keadilan di negara kita yang tercinta, Malaysia ini.

    Hj. Saari Hj. Sungib

    Pengerusi Jawatankuasa, Bulan Reformasi,

    Parti KeADILan Nasional




    Laman ini dilancarkan pada 31 Ogos 2000. Jurucakap laman ini ialah Tuan Hj. Saari Sungib yang merupakan ahli MPT keADILan dan juga Pengerusi JK Khas Bulan Reformasi. Email Webmaster