Bulan September akan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti perjuangan rakyat.!

 


 


SEARCH :

MENU UTAMA
PERHIMPUNAN RAKYAT
Program Khas Hari Kebangsaan
AKTIVITI
A L B U M
DEBAT RAKYAT
Hubungi Kami
HUBUNG KE:
GUESTBOOK:
[Sign] [View]

 


BLACK 14 - Tarikh yang Sentiasa Dikenang


Satu delegasi akan bertemu dengan Tan Sri Musa Hitam atau wakilnya di Pejabat SUHAKAM pada pukul 11:00 pagi, hari Sabtu 14 April 2001. Tujuan delegasi tersebut adalah untuk menyerahkan satu memorandum berkaitan penegasan prinsip-prinsip hak asasi yang dinamakan sebagai Memorandum Rakyat 14 April.

Tema bagi memorandum adalah “Pertahankan Hak Asasi” 

Tarikh 14 April dipilih sebagai memperingati tarikh di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dijatuhi hukuman selama enam tahun di atas dakwaan rasuah kerana salah guna kuasa pada tahun 1999. Dato’ Seri Anwar tetap berpendirian bahawa beliau tidak bersalah dan  menganggapnya sebagai satu hukuman politik ke atas dirinya. Pada hari itu juga rakyat yang tidak berpuas hati telah mengadakan demonstrasi secara aman dan akibat daripada itu terpaksa berhadapan dengan tindakan kekerasan pihak polis. 

Usaha untuk mengadakan perhimpunan aman sebagai menunjukkan protes terhadap hukuman tersebut juga telah cuba diadakan pada tahun 2000. Walau bagaimanapun hasrat rakyat tersebut telah mendapat sekatan besar-besaran daripada pihak polis. 

Pada kali ini, sebuah jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April telah ditubuhkan bagi mengetengahkan keprihatinan rakyat perihal pencabulan hak-hak asasi yang berlaku khususnya ekoran daripada rentetan pelbagai peristiwa sejak 14 April 1999. 

Jawatankuasa meletakkan harapan besar kepada SUHAKAM sebagai sebuah suruhanjaya yang menangani isu-isu hak asasi manusia agar meneliti prinsip-prinsip dan butiran yang terkandung dalam Memorandum Rakyat 14 April ini. Langkah yang dilakukan oleh SUHAKAM untuk membuat penyiasatan terhadap laporan keganasan polis ekoran daripada Perhimpunan 100,000 Rakyat di Lebuhraya KESAS pada 5 November 2000 amat dihargai. Jawatankuasa berharap agar SUHAKAM menunjukkan pendirian yang tegas tentang segala bentuk pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh pihak polis terhadap rakyat semasa perhimpunan tersebut. 

Memorandum Rakyat 14 April mengandungi sepuluh prinsip utama berkisar di sekitar kebebasan bersuara, hak berhimpun, kebebasan media, kebebasan kehakiman, sosio-ekonomi rakyat tertindas, fahaman perkauman dan diskriminasi kaum, undang-undang zalim, kovenan hak asasi antarabangsa, kepincangan polis serta amalan rasuah, kronisme dan nepotisme.  

Memorandum Rakyat 14 April yang akan dihantar kepada SUHAKAM pada 14 April 2001 ini dijangka akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk parti-parti politik, NGO, aktivis sosial dan tokoh-tokoh masyarakat. Di samping itu beberapa memorandum sokongan yang akan memperincikan isu-isu fokus berkaitan pencabulan hak asasi di negara ini akan disediakan oleh beberapa NGO. Memorandum sokongan ini juga akan turut dihantar kepada SUHAKAM bersama-sama Memorandum Rakyat 14 April. 

Pada hari Penyerahan Memorandum Rakyat 14 April, delegasi dan para pengiring yang terdiri daripada wakil-wakil NGO dan rakyat akan mula berhimpun di bawah Bangunan Menara Tun Razak bermula pukul 10:00 pagi. Wakil-wakil NGO dan rakyat akan menunggu di bawah semasa delegasi naik ke atas menyerahkan memorandum tersebut. Mereka dijangkakan bersurai pada pukul 12:30 tengahari selepas mendapat taklimat daripada delegasi hasil pertemuan dengan pihak SUHAKAM. 

Penyerahan memorandum dan perhimpunan aman rakyat ini amat bermakna kerana Jawatankuasa yakin bahawa SUHAKAM adalah satu-satunya institusi di negara ini yang masih berwibawa untuk mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia yang kian hari kian terhakis.