MEMORANDUM RAKYAT 14 APRIL

Perutusan [1]

 

 

PERHIMPUNAN AMAN 14 APRIL

“PERTAHANKAN HAK ASASI”

 

 

Assalamu’alaikum dan Salam Reformasi,

 

Sekalian warga Malaysia yang budiman,

 

Sebagaimana yang disiarkan dalam Kenyataan Media pada 30 Mac 2001 yang lalu, satu delegasi akan bertemu dengan Tan Sri Musa Hitam atau wakilnya di Pejabat SUHAKAM pada pukul 11:00 pagi, hari Sabtu 14 April 2001.

 

Memorandum Utama dan Memorandum Sokongan

 

Dalam pertemuan tersebut, satu himpunan memorandum dengan tema “Pertahankan Hak Asasi” akan diserahkan kepada SUHAKAM. Himpunan memorandum tersebut terdiri daripada memorandum utama yang terkandung di dalamnya sepuluh prinsip hak asasi serta disokong oleh beberapa memorandum terperinci perihal pencabulan hak asasi manusia di negara ini.

 

Memorandum utama disediakan oleh Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April dengan disokong oleh ratusan badan terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan jawatankuasa-jawatankuasa aktivis rakyat. Memorandum sokongan pula disediakan oleh NGO, jawatankuasa-jawatankuasa aktivis rakyat dan pelbagai kumpulan orang perseorangan.

 

Intipati Sepuluh Prinsip “Pertahankan Hak Asasi”

 

Memorandum Rakyat 14 April mengandungi sepuluh prinsip utama berkisar di sekitar kebebasan bersuara, hak berhimpun, kebebasan media, kebebasan kehakiman, sosio-ekonomi rakyat tertindas, fahaman perkauman dan diskriminasi kaum, undang-undang zalim, kovenan hak asasi antarabangsa, kepincangan polis serta amalan rasuah, kronisme dan nepotisme.

 

Delegasi Mewakili Pelbagai Lapisan Rakyat

 

Delegasi yang akan bertemu dengan SUHAKAM pada 14 April ini terdiri daripada ahli-ahli daripada Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April serta wakil-wakil NGO yang terlibat menyediakan memorandum sokongan. Dijangkakan kira-kira 50 orang akan menganggotai delegasi untuk bertemu dengan SUHAKAM pada hari tersebut.

 

Adalah juga dijangkakan bahawa delegasi 50 orang ini akan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di kalangan peneroka desa, peneroka bandar, buruh dan pekerja, pelajar dan mahasiswa, golongan profesional, sarjana dan cendiakawan, artis dan karyawan, penulis dan penggiat media independen, aktivis parti-parti politik, wakil-wakil rakyat, pemimpin dan aktivis NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta aktivis sosial dan reformasi politik dan ekonomi negara.

 

Delegasi Diiringi oleh Penyokong dan Rakyat

 

Memandangkan sebahagian daripada ahli-ahli delegasi mewakili beberapa NGO dengan bilangan keanggotaan yang besar dan juga wakil-wakil rakyat yang mewakili rakyat terbanyak, maka adalah dijangkakan bahawa delegasi yang bakal bertemu dengan SUHAKAM akan diiringi oleh para penyokong dan ahli-ahli NGO berkenaan.

 

Jawataankuasa menjangkakan bahawa orang ramai juga akan turut serta mengiringi delegasi itu sebagai tanda sokongan terhadap penyerahan memorandum tersebut.

 

Perhimpunan Aman

 

Memandangkan tujuan orang ramai dan rakyat turun mengiringi delegasi adalah sebagai tanda sokongan mereka kepada penyerahan Memorandum Rakyat 14 April kepada SUHAKAM, Jawatankuasa berkeyakinan penuh bahawa rakyat akan berkumpul dan berhimpun secara aman pada hari itu.

 

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April menyeru orang ramai untuk menunjukkan disiplin yan tinggi semasa mengiringi delegasi ke SUHAKAM. Jawatankuasa juga menyeru agar pihak polis tidak menimbulkan sebarang kesulitan kepada orang awam dan rakyat jelata yang sekadar berhimpun secara aman bagi menunjukkan sokongan mereka dalam usaha untuk “Pertahankan Hak Asasi”.

 


Sekian. Terima kasih.

 

“Pertahankan Hak Asasi”

 

Yang benar,

Hj. Saari Hj. Sungib,

Pengerusi,

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April

 

9 April 2001

 

Ahli-ahli Jawatankuasa:

 

Abdul Malek Hussin, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Norazimah Mohd Nor, Nasir Md Isa, Azwandin Hamzah, Tan Soi Kow, Fadil Hj. Abu Bakar

 

Emel Pengerusi: saari_sungib@justice.com

Emel Sekretariat: Memo14April@justice.com