Perutusan
[10]
PERHIMPUNAN AMAN 14 APRIL
“PERTAHANKAN HAK ASASI”
Assalamu’alaikum dan Salam Reformasi,
Sekalian
warga Malaysia yang budiman,
Sebagaimana
yang disiarkan dalam Kenyataan Media pada 30 Mac 2001 yang lalu, satu delegasi
akan bertemu dengan Tan Sri Musa Hitam atau wakilnya di Pejabat SUHAKAM pada
pukul 11:00 pagi, hari Sabtu 14 April 2001.
Memorandum Utama dan Memorandum Sokongan
Dalam pertemuan tersebut, satu
himpunan memorandum dengan tema “Pertahankan Hak Asasi” akan
diserahkan kepada SUHAKAM. Himpunan
memorandum tersebut terdiri daripada memorandum utama yang terkandung di
dalamnya sepuluh prinsip hak asasi serta disokong oleh beberapa memorandum
terperinci perihal pencabulan hak asasi manusia di negara ini.
Memorandum utama
disediakan oleh Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April dengan disokong oleh
ratusan badan terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan
jawatankuasa-jawatankuasa aktivis rakyat. Memorandum sokongan pula disediakan
oleh NGO, jawatankuasa-jawatankuasa aktivis rakyat dan pelbagai kumpulan orang
perseorangan.
Intipati
Sepuluh Prinsip “Pertahankan Hak Asasi”
Memorandum
Rakyat 14 April mengandungi sepuluh prinsip utama berkisar di sekitar kebebasan
bersuara, hak berhimpun, kebebasan media, kebebasan kehakiman, sosio-ekonomi
rakyat tertindas, fahaman perkauman dan diskriminasi kaum, undang-undang zalim,
kovenan hak asasi antarabangsa, kepincangan polis serta amalan rasuah, kronisme
dan nepotisme.
Delegasi
Mewakili Pelbagai Lapisan Rakyat
Delegasi yang
akan bertemu dengan SUHAKAM pada 14 April ini terdiri daripada ahli-ahli
daripada Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April serta wakil-wakil NGO yang
terlibat menyediakan memorandum sokongan. Dijangkakan kira-kira 50 orang akan
menganggotai delegasi untuk bertemu dengan SUHAKAM pada hari tersebut.
Adalah juga
dijangkakan bahawa delegasi 50 orang ini akan terdiri daripada pelbagai lapisan
masyarakat di kalangan peneroka desa, peneroka bandar, buruh dan pekerja,
pelajar dan mahasiswa, golongan profesional, sarjana dan cendiakawan, artis dan
karyawan, penulis dan penggiat media independen, aktivis parti-parti politik,
wakil-wakil rakyat, pemimpin dan aktivis NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta
aktivis sosial dan reformasi politik dan ekonomi negara.
Delegasi
Diiringi oleh Penyokong dan Rakyat
Memandangkan
sebahagian daripada ahli-ahli delegasi mewakili beberapa NGO dengan bilangan
keanggotaan yang besar dan juga wakil-wakil rakyat yang mewakili rakyat
terbanyak, maka adalah dijangkakan bahawa delegasi yang bakal bertemu dengan
SUHAKAM akan diiringi oleh para penyokong dan ahli-ahli NGO berkenaan.
Jawataankuasa
menjangkakan bahawa orang ramai juga akan turut serta mengiringi delegasi itu
sebagai tanda sokongan terhadap penyerahan memorandum tersebut.
Perhimpunan
Aman
Memandangkan
tujuan orang ramai dan rakyat turun mengiringi delegasi adalah sebagai tanda
sokongan mereka kepada penyerahan Memorandum Rakyat 14 April kepada SUHAKAM,
Jawatankuasa berkeyakinan penuh bahawa rakyat akan berkumpul dan berhimpun
secara aman pada hari itu.
Jawatankuasa
Memorandum Rakyat 14 April menyeru orang ramai untuk menunjukkan disiplin yan
tinggi semasa mengiringi delegasi ke SUHAKAM. Jawatankuasa juga menyeru agar
pihak polis tidak menimbulkan sebarang kesulitan kepada orang awam dan rakyat
jelata yang sekadar berhimpun secara aman bagi menunjukkan sokongan mereka dalam
usaha untuk “Pertahankan Hak Asasi”.
Sekian. Terima kasih.
“Pertahankan
Hak Asasi”
Yang benar,
Hj. Saari Hj.
Sungib,
Pengerusi,
Jawatankuasa
Memorandum Rakyat 14 April
Ahli-ahli
Jawatankuasa:
Abdul Malek
Hussin, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Norazimah Mohd Nor, Nasir Md Isa, Azwandin
Hamzah, Tan Soi Kow, Fadil Hj. Abu Bakar
Emel Pengerusi: saari_sungib@justice.com