MEMORANDUM RAKYAT 14 APRIL

Perutusan [4]

 

SAMBUTAN 14 APRIL 2001

KESINAMBUNGAN HASRAT DAN ASPIRASI RAKYAT

 

Assalamu’alaikum dan Salam Reformasi,

 

Sekalian warga Malaysia yang budiman,

 

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April adalah satu kesinambungan usaha sejak Bulan Reformasi September 2000 lagi. Rentetan peristiwa sepanjang Bulan Reformasi 2000 telah mewujudkan kerjasama di kalangan aktivis parti-parti politik, NGO, reformis dan karyawan untuk berganding tenaga menggembleng sokongan rakyat ke arah reformasi politik dan ekonomi negara. Gabungan usaha ini telah menghasilkan kerjasama para aktivis dalam satu jawatankuasa untuk menganjurkan perhimpunan rakyat bersama pemimpin.

 

Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat

Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi meneruskan usaha yang tidak kesampaian semasa Bulan Reformasi 2000 untuk mengadakan perhimpunan aman di Stadium Bukit Jalil. Apabila percubaan kedua untuk menganjurkan pertemuan rakyat dengan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif di Stadium Bukit Jalil juga masih gagal, maka perhimpunan yang dihalakan untuk memobilisasi lebih daripada 100,000 rakyat telah dirancang untuk diadakan di Jalan Kebun, Shah Alam/Klang. Perhimpunan rakyat yang dinamakan sebagai Perhimpunan 100,000 Rakyat ini berkesudahan dengan perhimpunan raksasa di Lebuhraya KESAS pada 5 November 2000. Logo “R” yang melambangkan “Rakyat” dengan tema “Kembalikan Hak Rakyat” telah buat pertama kali digunakan ketika menganjurkan program ini.

 

Jawatankuasa Kembalikan Hak Rakyat

 

Kembalikan Wang Royalti

Rakyat Terengganu

25 November 2000

Kementerian Kewangan, Kuala Lumpur

 
Selepas berakhirnya Perhimpunan 100,000 Rakyat, jawatankuasa yang menganjurkan perhimpunan tersebut telah dikembangkan untuk menjadi Jawatankuasa Kembalikan Hak Rakyat. Pengerusi Jawatankuasa ini adalah Dr. Hatta Ramli dengan mengekalkan kesemua ahli-ahli jawatankuasa sebelumnya. Logo “R” masih kekalkan. Program utama yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kembalikan Hak Rakyat adalah perhimpunan aman bantahan rakyat pada 25 November 2000 di Kementerian Kewangan Kuala Lumpur serta penyerahan memorandum bantahan kepada Menteri Kewangan berkenaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

 

Jawatankuasa Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat

 

Perhimpunan Raya 100,000 Rakyat

20 Januari 2001

Telok Panglima Garang, Selangor

 
Berikutan perayaan berganda sepanjang Disember 2000 dan Januari 2001, jawatankuasa di atas diwujudkan bagi menganjurkan sambutan Krismas, Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Perayaan Hari Ponggal. Tujuan sambutan ini diadakan adalah bagi meneruskan hasrat rakyat berhimpun secara aman serta beramah mesra dengan seluruh lapisan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Tema sambutan Hari Raya tersebut adalah “Perhimpunan Raya Perpaduan Rakyat”.

 

 

 

 

Jawatankuasa Selamatkan Wang Rakyat

 

Jawatankuasa Selamatkan Wang Rakyat atau JUWARA telah dicetuskan oleh Pemuda BA dengan mendapat sokongan NGO dan reformis. Kempen utama JUWARA adalah untuk menerangkan kepada rakyat melalui siri ceramah ke seluruh negara tentang penyelewengan Kerajaan Barisan Nasional dalam menyalahgunakan wang rakyat bagi menyelamatkan syarikat-syarikat kroni. Fokus utama JUWARA adalah mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa dalam kes menyelamatkan MAS, Sistem Penerbangan Malaysia. Siri ceramah seluruh negara sepanjang bulan Mac adalah antara lain bertujuan untuk menimbulkan kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka menjelang sambutan memperingati tarikh 14 April 2001.

 

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April

Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menganjur program sempena memperingati 14 April 2001 yang berbentuk telus dan terbuka. Pilihan program terbaik adalah penyerahan satu memorandum yang menyentuh isu hak asasi di negara ini kepada SUHAKAM.

 

Memorandum ini dinamakan sebagai Memorandum Rakyat 14 April. Tema bagi memorandum adalah “Pertahankan Hak Asasi”

 

Memandangkan usaha penyerahan memorandum ini adalah sebagai satu kesinambungan daripada usaha-usaha sebelum ini, logo “R” yang melambangkan “Rakyat” digunakan dengan pertukaran warna daripada warna merah hati (maroon) kepada oren (orange) dengan tema “Pertahankan Hak Asasi” melingkari di atas dan di bawah huruf “R”.

 


Sekian. Terima kasih.

 

“Pertahankan Hak Asasi”

 

Yang benar,

Hj. Saari Hj. Sungib,

Pengerusi,

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April

 

10 April 2001

 

Ahli-ahli Jawatankuasa:

 

Abdul Malek Hussin, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Norazimah Mohd Nor, Nasir Md Isa, Azwandin Hamzah, Tan Soi Kow, Fadil Hj. Abu Bakar

 

Emel Pengerusi: saari_sungib@justice.com

Emel Sekretariat: Memo14April@justice.com