PENYERAHAN MEMORANDUM RAKYAT 14 APRIL

 

Perutusan (2)

 

SEPULUH PRINSIP PERTAHANKAN HAK ASASI

 

 

Assalamu’alaikum dan Salam Reformasi,

 

Sekalian warga Malaysia yang budiman,

 

Memorandum yang disediakan oleh Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April dan disokong oleh ratusan badan terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan jawatankuasa-jawatankuasa aktivis rakyat terdiri daripada sepuluh prinsip seperti berikut:

 

1.      Jaminkan Kebebasan Bersuara

 

Menekankan prinsip kebebasan bersuara sebagai hak asasi rakyat dengan mendesak apa-apa bentuk sekatan dan halangan terhadap hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat dimansuhkan.

 

2.      Jaminkan Hak Berhimpun

 

Menekankan prinsip hak rakyat untuk berhimpun secara aman, seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dikembalikan kepada rakyat dengan mendesak semua bentuk sekatan terhadap hak rakyat berhimpun secara aman dimansuhkan.

 

3.         Jaminkan Kebebasan Media

 

Menekankan prinsip menegakkan kebenaran melalui penyiaran dan penyebaran maklumat dan berita ditegakkan di negara ini dengan mendesak semua bentuk halangan dan sekatan terhadap kebebasan media cetak dan eletronik dimansuhkan.

 

4.      Pertahankan Kebebasan Kehakiman

 

Menekankan prinsip kebebasan kehakiman ditegakkan di negara ini dengan menggesa sebarang usaha yang dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman dilakukan serta merta.

 

5.      Martabatkan Sosio-Ekonomi Rakyat Tertindas

 

Menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan ditegakkan dengan menggesa agar dimartabatkan pembangunan sosio-ekonomi seluruh lapisan rakyat tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

 

6.      Hapuskan Faham Perkauman dan Diskriminasi Kaum

 

Menekankan prinsip persaudaraan manusia sejagat dan perpaduan kaum dengan menggesa agar sebarang langkah pemulihan berkesan dilakukan segera bagi menangani permasalahan perkauman dan diskriminasi kaum di negara ini

 

7.      Mansuhkan Undang-Undang Zalim

 

Menekankan prinsip menentang dan menghapuskan kezaliman dengan mendesak semua undang-undang zalim yang secara nyata mencabul hak asasi dihapuskan segera

 

8.      Perakui Kovenan Hak Asasi Antarabangsa

 

Menekankan prinsip kerjasama antarabangsa dihormati dengan mendesak kerajaan memenuhi semua kovenan antarabangsa dan suratcara Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak asasi.

 

9.      Siasat Rasuah, Kronisme dan Nepotisme

 

Menekankan prinsip menentang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dengan mendesak semua amalan rasuah, kronisme dan nepotisme yang telah memburukkan imej rakyat dan negara ini disiasat dan diperbetulkan.

 

10.  Siasat Kepincangan Polis

 

Menekankan prinsip mempertahankan kewibawaan institusi awam dengan menggesa langkah penyiasatan bebas dan terbuka diambil untuk menangani kelemahan dan kepincangan institusi polis.


Sekian. Terima kasih.

 

“Pertahankan Hak Asasi”

 

Yang benar,

Hj. Saari Hj. Sungib,

Pengerusi,

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April

 

9 April 2001

 

Ahli-ahli Jawatankuasa:

 

Abdul Malek Hussin, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Norazimah Mohd Nor, Nasir Md Isa, Azwandin Hamzah, Tan Soi Kow, Fadil Hj. Abu Bakar

 

Emel Pengerusi: saari_sungib@justice.com

Emel Sekretariat: Memo14April@justice.com