KENYATAAN MEDIA
JEMPUTAN MENGIRINGI WIRA-WIRA REFORMASI
KE MAHKAMAH SESYEN KUALA LUMPUR PADA 11 SEPTEMBER 2000
Sempena menyambut Bulan Reformasi 2000 dan bagi menunjukkan sokongan kepada pejuang-pejuang
reformasi, warga Kuala Lumpur dan Lembah Klang dijemput hadir ke Mahkamah Sesyen 1B esok, Isnin, 11 Sept
2000, pukul 8:45 pagi hingga pukul 9:00 pagi.
Tujuan perhimpunan adalah untuk mengiringi wira-wira reformasi yang akan dihadapkan ke mahkamah kerana
didakwa mengambil bahagian dan menganjur perhimpunan di Masjid Negara pada 19 September tahun
lalu.
Kira-kira 30 orang ditahan tahun lalu kerana membantah sikap cuai kerajaan di atas dakwaan keracunan
arsenik Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa dalam penjara di Sungai Buloh.
Mereka yang akan didakwa esok termasuk tokoh-tokoh parti politik daripada keADILan, PAS dan PRM dan
beberapa orang aktivis reformasi. Antara lain mereka terdiri daripada Tian Chua, Roslan Kassim, Ezam Mohd
Nor, Ng Lum Long, Azmin Ali, Goh Keat Peng, Gobalakrishnan, Dr. Hatta Ramli, Sanusi Osman, Sivarasa, Malek
Husin dan Puspalingam.
Para penyokong diminta berhimpun secara aman, berjabat tangan dan menyampaikan ucapan selamat berjuang
kepada wira-wira tersebut dan terus bersurai dan beredar dari mahkamah sebaik sahaja mereka masuk ke
dalam mahkamah.
Jawatankuasa Bulan Reformasi menyeru agar pihak polis memberi kerjasama kepada para penyokong yang
akan mengiringi wira-wira mereka kerana mahu menunjukkan semangat setiakawan dan sikap solidariti
mereka.
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,
Parti KeADILan Nasional
10 September 2000