Pada malam menjelang 31 Ogos 2000 baru-baru ini seramai enam orang ahli keADILan Bahagian Seremban, Negeri Sembilan
yang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke 43 yang bergerak secara konvoi kenderaan dengan mengibarkan bendera
Malaysia dan keADILan telah ditangkap dan disoalsiasat oleh pehak polis. Arahan penangkapan ini secara jelas adalah dari
Ketua Polis Negeri Sembilan yang jua berada di tempat kejadian yang secara peribadi mengetuai operasi penahanan tersebut.
Akhbar NST pada 1hb. September 2000 melaporkan mereka telah mempamerkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa
didalam perarakan konvoi kenderaan tersebut. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Seremban, Mak
Chee Onn dimana beliau telah dipetik menyatakan bahawa “The youths were also displaying pictures of Datuk Seri Anwar
Ibrahim”. Diantara bahan-bahan bukti yang dirampas adalah bendera parti keADILan dan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli-ahli yang ditangkap telah diarahkan untuk melakonkan semula untuk memasang bendera parti keADILan dikenderaan
masing-masing dan gambar-gambar mereka telah diambil dengan aksi bersama kenderaan masing-masing bersama bendera
keADILan tanpa bendera Malaysia.
Adalah menjadi malang didalam negara ini apabila ada diantara rakyat Malaysia yang ingin meraikan secara patriotik sempena
sambutan kemerdekaan baru-baru ini bersama mengibarkan bendera sebuah parti yang sah telah dianggap seperti penjenayah
besar. Mereka telah ditangkap bermula dari jam 11.30 malam sehingga jam 4.30 pagi iaitu selama 5 jam. Soal-siasat
berulang-alik diantara bahagian Jenayah dan Cawangan Khas dan empat orang dari mereka telah menerima surat arahan untuk
menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9.00 pagi, 13 September 2000.
Diantara yang telah ditangkap, disoalsiasat dan diarahkan ke Mahkamah Sesyen adalah sepasang suami-isteri yang jua
membawa dua orang mereka yang baru berumur dua setengah tahun dan lima tahun. Pehak polis langsung tidak menghiraukan
nasib dua orang kanak-kanak malang yang menangis diluar Balai Polis Seremban dan malahan sehingga terkencing-kencing
sementara menanti kedua-dua orang ibu-bapa mereka yang sedang disoal-siasat oleh pehak polis didalam Balai Polis. Sikap ini
secara langsung mengambarkan sikap tidak berperikemanusiaan pehak berkuasa didalam menjalankan tugas mereka di atas
“kesalahan” membawa bendera sebuah parti yang sah bersama bendera Malaysia.
Apabila Ketua keADILan Bahagian Seremban hadir di Balai Polis pada jam 12 tengahmalam dan bertemu dengan Ketua Polis
Negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut, beliau berkeras untuk meneruskan soal-siasat dan menyatakan terpulang kepada
mahkamah yang akan menentukan andaikata mereka akan didakwa. Apabila ditanya adakah mana-mana pehak lain yang
meraikan malam kemerdekaan ditangkap semasa perarakan yang banyak berlaku disekitar bandar Seremban; beliau menjawab
tidak tahu pada peringkat awalnya dan akhirnya bersetuju bahawa hanya ahli-ahli keADILan yang berarak konvoi kenderaan
yang ditangkap.
Adalah lebih malang kerana pada malam tersebut banyak berlaku perarakan yang menganggu keadaan lalu-lintas. Malahan
dihadapan perhentian bas Terminal One Seremban berlaku perkara-perkara yang cukup memalukan dengan anak-anak muda
yang mabuk dan menganggu kenderaan yang lalu-lintas. Ada diantara mereka telah mencurahkan arak di atas kenderaan yang
lalu secara perlahan dan ada jua diantara mereka yang membuka baju serta mula baring di atas jalan. Pehak polis yang ada
tidak membuat sebarang tangkapan dan nampaknya Ketua Polis Negeri Sembilan lebih tertarik untuk menahan ahli-ahli
keADILan yang bergerak didalam konvoi kenderaan secara aman. Ini semata-mata kerana mereka membawa bersama
bendera parti dan gambar pemimpin mereka semasa konvoi kenderaan tersebut.
Parti Keadilan Nasional merasa cukup kesal di atas tindak-tanduk pehak polis yang gagal memahami hak asasi rakyat negara
ini yang ingin menyuarakan suara mereka menerusi sebuah parti yang sah. Perarakan di malam sambutan kemerdekaan
sewajarnya dialukan walaupun mereka membawa bersama bendera parti. Ini kerana Parti Keadilan Nasional adalah sebuah
parti yang sah yang jua ingin bersama meraikan malam tersebut. Tindakan menahan sepasang suami-isteri tanpa menghiraukan
dua orang anak kecil mereka adalah sesuatu tindakan yang amat mengaibkan. Penahanan selama lima jam ibu-bapa mereka
seolah-olah seperti penjenayah besar adalah sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku. Tidak ada seorang anggota polis yang
ingin mengambil tahu tentang nasib anak-anak kecil yang terbiar di luar Balai Polis Seremban semasa ibu-bapa mereka di
soalsiasat. Anak-anak kecil ini bernasib baik kerana ramai diantara ahli-ahli keADILan yang berada diluar Balai Polis
Seremban cuba mententeramkan mereka.
Walaubagaimanapun, pada jam 4.00 pagi, Ketua keADILan Bahagian Seremban tidak dapat menahan sedih dan sabar apabila
melihat anak-anak kecil tersebut menangis-nangis sambil terkencing-kencing untuk berjumpa ibu-bapa mereka lalu mendukung
mereka dan terus menyerbu masuk di bilek Cawangan Khas Seremban di tingkat satu Balai Polis serta menyerahkan anak kecil
tersebut kepada ibu mereka.
Kita merayu agar pehak polis dapat bersikap professional dan dapat menghormati hak asasi rakyat negara ini walaupun mereka
adalah dari parti bukan pemerintah.
Parti Keadilan Nasional Bahagian Seremban menyeru kepada semua penyokong-penyokong yang bersimpati untuk turut serta
memberi sokongan moral kepada ahli-ahli parti yang telah disoalsiasat diatas “kesalahan” ini untuk turut hadir diperkarangan
Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9.00 pagi, 13 September 2000.
Lawan tetap lawan
|